Tuesday 7 January 2014

KLANG BANDAR DIRAJA



Pengenalan
Sejarah Klang telah muncul lebih awal daripada Melaka. Negara ini adalah sebahagian dari jajahan takhluk kerajaan Sri Vijaya dan Majapahit. Asal usul nama Klang adalah dari bahasa Mon-Khymer iaitu "Klong". Klong boleh diertikan sebagai gudang seperti mana yang dikemukakan oleh C.O. Blagden yang menyatakan Klang menjadi sebuah Pelabuhan terpenting yang mempunyai banyak gudang-gudang. Manakala pendapat Charles A. Fishr yang menyatakan "Klang" itu bermaksud "terusan" atau jalan air.
Pendapat ini dipersetujui di mana Klang mempunyai banyak jalan air iaitu anak-anak sungai tersebut ialah Sg. Klang, Sg. Bertek, Sg. Pinang, Sg. Sementa, Sg. Agas, Sg. Kandis, Sg. Binjai, Sg. Kapar, Sg. Jati, Sg. Aur, Sg. Rasau dan Sg. Putus. Nama sungai ini terus kekal sehingga ke hari ini. Klang menjadi penting hanya selepas Kuala Selangor merosot khususnya selepas kemangkatan Sultan Muhammad (1826-1857). Sehinggalah pada tahun 1875, Klang di pilih sebagai ibu kota Selangor sebelum ditukar kepada Kuala Lumpur pada 1880. Pada tahun 1886, Klang dikatakan sebuah tempat yang cantik dan bersih.


Klang Bandar Bersejarah
Klang merupakan di antara bandar yang tertua di Malaysia. Mengikut sejarah, Klang mula diduduki sejak 2,000 tahun yang dahulu lagi. Catatan yang mula-mula ditulis mengenai Klang bermula pada Zaman Kerajaan Majapahit kira-kira 600 tahun dahulu. Di sinilah bermulanya detik-detik kebangkitan Klang yang ketika dahulu tidak terikat dengan mana-mana kawasan. Malah pada ketika itu Klang adalah sebuah kuasa besar di bawah pentadbiran Sultan Suleiman. Bagaimanapun, akibat ketidaksefahaman maka berlakulah perang saudara antara Raja Mahadi dengan Raja Abdullah iaitu waris Sultan Suleiman. Ketika itu, Klang di dalam keadaan huru-hara dengan dibayangi peperangan untuk merebut kekuasaan. Kota Raja Mahadi yang terletak berhampiran Bangunan Majlis Perbandaran Klang adalah antara peninggalan perang saudara yang tercetus disuatu ketika dahulu.
Tapak Bangunan Majlis Perbandaran Klang yang ada sekarang dahulunya adalah bekas tapak Kota Raja Mahadi yang pernah menjadi benteng pertahanan yang penting bagi mengekang kemaraan musuh semasa tercetusnya peperangan tersebut.Bagaimanapun akibat perubahan masa dan struktur bangunan yang tidak kukuh, kota yang dibina pada tahun 1860 telah roboh sebahagiannya. Apa yang tinggal cuma pintu gerbang yang menjadi mercu tanda kekuatan empayar Raja Mahadi. Bagaimanapun banyak bahan sejarah yang terkubur akibat perubahan arus dan masa. Salah satunya ialah ada sumber mengatakan Kota Raja Mahadi terletak di atas puncak bukit ini dilengkapi dengan terowong yang boleh menembusi ke Sungai Klang. Namun lorong tersebut kini telah tertimbus.


Sungai Klang
Penempatan-penempatan awal di Selangor telah wujud sekitar 4500 tahun dahulu berdasarkan artifak zaman batu dan 2500 tahun berdaasarkan artifak zaman logam. Ini dibuktikan dari jumpaan artifak secara eskkavasi srkeologi dan secara tidak sengaja. Penempatan-penempatan masyarakat zaman logam di Selangor adalah berdekatan dengan sungai. Di Selangor, perkembangan masyarakat awal yang mempunyai kaitan dengan sungai dapat dilihat berdasarkan bukti-bukti arkeologi yang wujud disepanjang aliran sungai. Lembangan sungai-sungai di Selangor pada tahap penempatan awal manusia bukan sahaja digunakan sebagai tempat mencari sumber makan dan kawasan sesuai bercucuk tanam tetapi juga aktif digunakan sebagai jalan perhubungan. Secara tidak langsung peranan sungai telah mempengaruhi perkembangan ketamadunan, peradaban dan perdagangan antara wilayah.


Pelabuhan Klang
Pelabuhan Klang dahulunya dikenali sebagai Port Swettenham telah wujud pada tahun 1900 setelah selesainya pembinaan landasan keretapi dari Bandar Klang ke Kuala Lumpur.  Dengan sebuah jeti penumpang dan 3 buah dermaga pelabuhan, Port Swettenham telah dirasmikan pada 15 September 1901 dan pentadbirannya diletakkan di bawah bidang kuasa Jabatan Keretapi.  Nama pelabuhan ini diambil sempena nama Frank Swettenham yang telah membuka pelabuhan ini. Peranan asal pelabuhan ini adalah untuk dijadikan tempat memunggah barangan seperti kayu, beras, tepung, gula dan lain-lain. Kini pelabuhan Port Swettenham telah dikenali sebagai Pelabuhan Klang yang merupakan sebuah pelabuhan negara yang terkemuka. Pelabuhan Klang kini meliputi 3 kawasan iaitu Southport, Northport dan Westport. Pelabuhan Klang juga menjadi tarikan kepada negara luar apabila berjaya menduduki tangga ke-12 pelabuhan terbaik dunia sebagai hab pengendalian kontena dunia.


Bangunan Majlis Perbandaran Klang
Tapak bangunan ini telah dikurniakan oleh DYMM Sultan Selangor kepada MPK untuk dibina bangunan ibu pejabat setinggi 4 tingkat dan sebuah dewan. Rekabentuk bangunan ini telahdisediakan oleh Arkitek T.J Khoo manakala Jurutera binaannya adalah rankie & Hill, Juru Ukur Bahan ialah Crisp Kavanagh & Partners serta Juru Elektrik ialah Pang & Liu Company. Kontraktor  pembinaan bangunan ini ialah Syarikat Kontraktor Kenneison Bros. Ltd. Bangunan ini telah dibuka secara rasminya pada 6 Januari 1964 bersamaan 23 Sa’aban 1383 oleh DYMM Sultan Selangor dan dinamakan sebagai Bangunan Sultan Abdul Aziz Shah. Bermula oktober 1990, bangunan Majlis ini telah dibina semula dan siap pada tahun 1994 dengan kos RM 8.1 juta. Pada mac 1995, bangunan baru ini digunakan sepenuhnya yang mengandungi 7 tingkat pejabat, bilik mesyuarat, auditorium dan lain-lain lagi.


Terowong Kota Raja Mahadi
Kota ini telah dibina oleh Raja Mahadi Ibni Almarhum Raja Sulaiman pada tahun 1866. Kota ini telah terlibat dalam 2 siri perang saudara pada kurun ke -19. Perang saudara pertama telah terjadi berpunca dari penganugerahan Sungai Klang serta kawasan-kawasan di kedua tebing sungai tersebut kepada Raja Abdullah Ibni Almarhum Raja Jaafar.  Di bawah pentadbiran beliau, bekas kawasan kepunyaan Raja Sulaiman, bapa Raja Mahadi ini menjadi kaya raya. Kemakmuran yang di capai oleh Raja Abdullah telah membuatkan Raja Mahadi iri hati lalu menuntut haknya ke atas bekas kawasan bapanya itu. Pada tahun 1866 tercetuslah perang saudara pertama di antara kedua pihak. Raja Mahadi telah membuat tempat pertahanannya di bukit ini. Beliau mendirikan benteng daripada tanah serta melengkapkannya dengan meriam-meriam dari Kuala Selangor. Kotanya yang kukuh ini telah menolong beliau dalam perang tersebut. Setiap serangan telah dapat dipatahkan. Perang saudara ini berjalan selama 1 tahun sehinggalah Raja Abdullah mengundurkan tenteranya.  Perang saudara kedua telah berlaku pada tahun 1868 apabila Tengku Kudin dari Kedah datang sebagai orang tengah dalam pergaduhan tersebut. Raja Mahadi menolak usaha untuk berdamai lalu Tengku Kudin dengan tenteranya telah menyerang dan mengalahkan Raja Mahadi yang bertahan di Kota ini. Tengku Kudin telah menawan kota ini dan menjadikan ia sebagai tempat kediaman beliau hingga ke tahun 1898. Pada tahun masihi 1899 meriam-meriam di kota ini telah dipindahkan untuk menghiasi Istana Mahkota Puri yang terletak di tapak Istana Alam Shah, Klang sekarang.


Jambatan Kota Klang
merupakan jambatan dua tingkat yang pertama pernah didirikan di Persekutuan Tanah Melayu. Jambatan Kota dibina merentangi Sungai Klang dengan kos  pembinaan RM10 juta. Jambatan Kota Klang mula dibina dalam bulan Jun 1957 dan merupakan antara jambatan bersejarah di Malaysia kerana dibina sebelum tarikh kemerdekaan Tanah Melayu.
Bahagian atasnya dibina khas untuk laluan kenderaan berat seperti bas, lori dan kereta manakala di bahagian bawah ialah untuk basikal, beca dan orang berjalan kaki.
Jambatan Kota menemukan semula Bandar Klang Utara dengan Klang Selatan yang terpisah seiak tahun 1941. Sebelum perang dunia kedua Jambatan Brickfield yang dibina dalam tahun 1907 merupakan penghubung utama penduduk kedua-dua bahagian sungai.
Apabila Inggeris kembali pada tahun 1945, dua buah jambatan pelampung telah dibina. Bagaimanapun ia tidak boleh dilalui oleh kenderaan. Jambatan Kota telah memesatkan lagi pembangunan di bandar di Raja Klang dan juga Pelabuhan Klang.
  
 
Masjid Bandar Diraja Klang
Sebuah masjid baru yang agak besar tetapi berada di kawasan yang sempit di pusat bandar Klang Utara hampir siap pembinaannya setelah 3 tahun terbengkalai. Anda akan nampak menara masjid baru Klang ini daripada jalan bertingkat di Bulatan 100 Klang, atau dari kawasan Stesen Bas Awam Klang Utara dan jika anda daripada Klang Selatan, anda akan dapat melihatnya dengan jelas khususnya dari bangunan atau menara Majlis Perbandaran Klang, dari Taman Pengkalan Batu Klang dan juga dari sekitar kawasan Balai Polis, Balai Bomba Klang dan juga dari atas kedua-dua jambatan Klang.
Nama masjid baru di Jalan Pasar Klang ini ialah Masjid Bandar DiRaja, bakal menjadi daya tarikan baru di bandar Klang. Beberapa shot fotografi oleh beberapa individu yang mahir dalam teknik fotografi berjaya menampilkan keindahan dan kehebatan panoranama tebing sungai pusat bandar Klang.


Pasar Jawa
Pasar Jawa adalah "syurga kerepek" di mana terdapat pelbagai jenis kerepek yang segar dijual pada harga yang murah. Pada malam sebelum Hari Raya Aidilfitri, kawasan ini akan sesak dengan kenderaan yang datang dari seluruh daerah Klang, Banting Kuala Selangor dan Shah Alam membuat last minute shopping di Bazaar Ramadhan berhampiran dan juga memborong kerepek.

Pulau Ketam
Pulau Ketam ialah sebuah pulau kecil yang terletak berdekatan dengan Pelabuhan Klang, Selangor, Malaysia. Pulau ini diasaskan sekitar tahun 1880. Cara untuk sampai ke sini ialah dengan menaiki feri dari Pelabuhan Klang. Majoriti penduduk di kawasan ini adalah dikalangan bangsa cina yang bekerja sebagai nelayan dan membuat makanan dari hasil laut. Kini, Pulau Ketam mempunyai penduduk lebih seribu orang dan majoriti adalah berbangsa cina. Mengambil masa lebih kurang 40 minit mengharungi samudera ke pulau tersebut dengan menaiki feri sambil mata disajikan dengan permandangan kesibukkan kapal-kapal dagang yang belayar ke Pelabuhan Klang. Masyarakat dikawasan tersebut membina penempatan dikawasan tersebut kiri-kira 1-10 meter dari paras laut.

Sungai Udang
Terletak berhampiran dengan Kampung Delek dan kampung Telok Gadong. Di bahagian utara Kampung Sungai Udang ini iailah Sungai Klang, manakala di bahagian timurnya pula terletak Bandar Klang. Kampung Sungai Udang pada awalnya tidak dikenali dengan nama Kampung Sungai Udang tetapi sebaliknya lebih dikenali dengan nama Kampung Teluk Pulai Dalam. Separuh daripada kawasan ini masuk ke kawasan perbandaran dan sebahagian lagi merupakan kampung-kampung tradisi yang sedang pesat mengalami proses pemodenan. Kebanyakan penduduk Kampung Sungai Udang ini adalah orang-orang Melayu. Kampung ini mula diteroka pada sekitar tahun 1880 oleh sekumpulan pendatang dari Tanah Jawa.
Pada zaman sebelum kedatangan Jepun, Ketua Kampung yang pada masa itu ialah Haji Abdul Ghani. Pada masa itulah nama Sungai Udang dinamakan iaitu sekitar 1943. Sungai Udang mendapat nama kerana terdapat satu sungai yang menjadi laluan keluar masuk perahu di pangkalan nelayan iaitu sungai yang pada masa itu mengalir masuk ke kawasan masjid dan keluar ke Simpang Empat Sungai Udang seterusnya keluar semula ke Sungai Bertek sehingga membentuk satu parit yang besar. Pada masa itu terdapat banyak udang di sepanjang parit tersebut.
Udang-udang yang terdapat di situ adalah udang air masin atau dipanggil udang kertas. Sejak dari itu kawasan tersebut dinamakan Sungai Udang. Namun begitu, diperingkat awal Kampung Sungai Udang hanya meliputi kawasan yang berhampiran dengan Simpang Empat dan di sebelah bandarnya pula masih dikenali dengan nama Kampung Teluk Pulai. Kini keseluruhan kawasan tersebut telah dikenali dengan nama Kampung Sungai Udang.

Kampung Delek
Kampung Delek bersempadan dengan Kampung Telok Gadong dan Kampung Sungai Udang. Mengikut sejarah awal, Kampung Delek telah diterokai oleh sekumpulan pendatang dari Tanah Jawa sekitar tahun 1899. Perkataan ‘Delek’ berasal dari perkataan Jawa yang  bermaksud ‘Tersorok’. Ini merujuk kepada keadaan atau kedudukan kampung itu yang tersorok dan terpencil, bersesuaian dengan keadaan kampung ini ketika mula-mula dibangunkan.Kampung Delek terletak di pinggir bandar dan kedudukannya agak terpencil dibahagian hujung antara Kampung Telok Gadong dan Kampung Sungai Udang.
Sewaktu zaman pemerintahan Jepun, penduduk Kampung Delek telah membuat sebatang jalan masuk ke kampung dini secara bergotong-royong. Jalan itu juga dikenali sebagai Jalan Jepun tetapi kini sudah ditukar namanya kepada Jalan Haji Mat Rani. Penduduk majoriti di kawasan tersebut adalah berketurunan Jawa. Pada masa itu, ketua kampung yang pertama dilantik ialah Tuan Haji Taib bin Haji Lazim atau dikenali dengan nama ‘Wak Lurah Taib’.

Kampung Sungai Pinang
Penduduk awal Kampung Sungai Pinang berasal dari Pulau Sumatera, Indonesia. Mereka merupakan para penghijrah yang datang khususnya dari Jambi dan Kampar. Menurut cerita, kedatangan orang-orang ini berlaku pada tahun 1800-1900 dalam bilangan kelompok  keluarga yang tidak ramai menaiki perahu kecil menyusuri Sungai Klang mencari tempat-tempat yang selamat dan sesuai untuk dijadikan tempat kediaman.
Akhirnya, hulu sungai yang menembusi satu kawasan di kilometer 2 Jalan Kapar iaitu di sebelah kiri menghala ke Pekan Kapar menjadi penempatan dan kediaman di kiri dan kanan sungai tersebut. Kebiasaannya di negeri Jambi, para penduduknya banyak menanam pokok pinang yang sememangnya menjadi alaman tradisi mereka membawa berpuluh-puluh batang anak pokok pinang dan menanamnya di tebing-tebing sungai yang menjadi penempatan mereka yang baru. Justeru itu, dengan permuafakatan penduduk kampung itu dinamakan Kampung Sungai Pinang dan dari situasi itulah kampung itu kekal dikenali dengan namanya sehingga ke hari ini.

Kampung Rantau Panjang
Kampung Rantau Panjang telah dibuka pada sekitar tahun 1890. Nama ‘Rantau Panjang’ berasal dari perantauan empat suku kaum yang merantau dari kepulauan Seberang yang terdiri daripada orang-orang Palembang, Bilah, Banjar dan Jawa. Oleh yang demikian, empat kaum tersebut berusaha gigih meneroka dan membuka kebun-kebun baru yang akhirnya semakin berkembang dan membangun sebagai kampung. Sehingga ke hari ini nama Kampung Rantau Panjang masih kekal dan merupakan kampung yang menjadi tumpuan masyarakat luar kerana kemajuan dari segi pembangunan, infrastruktur termasuk pembinaan Lebuhraya Selat Klang yang menjadi laluan utama kepada penduduk.

Kampung Bagan Hailam
Kampung ini diasaskan oleh sekumpulan nelayan berbangsa Cina Hylam (Hailam). Pada masa itu, kawasan ini hanya boleh dilalui dengan pengangkutan seperti sampan sahaja dari Pelabuhan Klang.  Pada lewat tahun 1980, selepas siapnya kawasan perindustrian Pelabuhan Utara, barulah jalan raya dibuka untuk kemudahan awam. Kawasan ini termasuk dalam kawasan pentadbiran Majlis Perbandaran Klang pada tahun 2003. Kebanyakan penduduk terlibat dengan industri berasaskan laut kerana kawasan tersebut terkenal dengan makan laut.


Tanjung Harapan
Tanjung Harapan terletak di Lingkaran Sultan Hisamuddin, Bandar Sultan Suleiman pantai buatan ini menjadi tempat pelancongan yang menarik dengan pandangan yang luar biasa di pelabuhan itu, terutama pada waktu senja. Kawasan ini juga merupakan pusat bagi sukan air dan terkenal dengan makanan laut yang lazat. Berhampiran Tanjung Harapan terdapat padang golf yang mempunyai 18-lubang.

9 comments:

  1. Terima kasih di atas input yang dikongsi..sangat bermanfaat bagi pelajar seperti saya..😀

    ReplyDelete
    Replies
    1. terima kasih kembali....sekiranya ada cadangan boleh maklumkan kepada saya.

      Delete
  2. Terima kasih. Info berguna untuk projek pusat sumber sekolah kami. Jejak Shahbandaraya, Klang Bandar Diraja.

    ReplyDelete
  3. Terima kasih. Info berguna untuk projek pusat sumber sekolah kami. Jejak Shahbandaraya, Klang Bandar Diraja.

    ReplyDelete
  4. Terima kasih. Info berguna untuk projek pusat sumber sekolah kami. Jejak Shahbandaraya, Klang Bandar Diraja.

    ReplyDelete
  5. Terima kasih atas info..semoga kite sama2 hayati sejarah negara kita

    ReplyDelete
  6. assalam. boleh sy tahu sumber rujukan info ini. adakah ia dari penceritaan penduduk kampung? mohon perhatian tuan untuk kajian projek saya.terima kasih.

    ReplyDelete
    Replies
    1. email saya di alamat nuratikahmdkikar93@gmil.com.

      Delete
  7. Maaf. Saya juga ingin tahu jika ada sumber lain untuk kajian selanjutnya.terima kasih

    ReplyDelete